Kalau Kau, Atau Aku Yang Pergi
Kau bentangkan padaku
peta masa depanmu,
di dalamnya ada impian dan cita-cita;
kau apungkan dengan jalan panjang
yang jauh mengabur.
Kubawakan padamu
sebeban buku masa laluku
lihatlah, ada kesan darah
yang telah mengering;
kusayangi masa laluku
melebihi impian masa depanku.
Ketika Tak Ada Puisi
Kerana tak lagi
ada puisi
yang tertulis,
kupilih waktu untuk
membaca kamus.
Aneh, di atas lembar-lembar
halaman, kutemui dirimu seperti sebuah hikayat lama.
Nota untuk Zafirah
Kerana kau satunya puteriku,
kukasihimu teramat,
meski engkau terkadang mengeluh
aku lebih kerap memarahi,
dari memanjakanmu.
Ketika kau perlahan menjadi remaja
belajar meninggalkan tangga rumah
dan mula bersekolah jauh,
hati lelakiku telah
menjadi kosong separuh.
Tinggal lagi separuh
hatiku, kini.
Tidak kutahu
bagaimana rupa
atau warna
kesepian hati seorang ayah
untuk kuceritakan kepadamu.
Nanti ketika kembang dewasa
kau akan semakin jauh,
kemudiannya berumahtangga
dan mempunyai anak,
kau akan tahu
hati lelakiku yang separuh itu
telah kosong sepenuhnya.
Kasih ayah memang begitu, anakku
aneh, tetapi selalu ada.
Photo credit: “Old books in Sarah’s house” by lungstruck is licensed under CC BY 2.0
Subscribe for new writing
Sign up to receive new pieces of writing as soon as they are published as well as information on competitions, creative grants and more.