Read time: 0 mins

GIGI PALSU PASAR PUDU

by Sheera Ghafar
9 August 2021

 

 

Lipas,

Kapal kertas,

Pisau lipat karat

Tiga benda ini aku jumpa ketika turun dari bilik sewa lewat Pasar Pudu tadi. Aku catat mereka dalam buku 555 kerana dari mereka, aku mahu hasilkan sepotong puisi. “Tapi, nanti sajalah aku siapkan,” perlahan aku bercakap dengan diri sendiri sambil buku 555 yang macam belacan itu aku tutup, gulung dan simpan dalam poket jeans lusuhku.

Ada seorang makcik lewat 60-an, bertudung bawal merah ikat simpul bawah dagu menjeling-jeling poster yang tertampal di sisi kotak polestrin di hadapan aku sambil membolak-balik sepotong timun jepun di bawah kanopi biru Uncle Lim. “Mungkin ini rezeki aku hari ini,” bisik aku sendirian.

Aku bangun dan poster yang tercetak lebih kecil di kertas bersaiz A5 aku hulurkan padanya. Tersengih mak cik itu menampakkan beberapa batang giginya yang tinggal dan kelihatan sudah mereput. Uncle Lim mengenyit matanya padaku. Dia memang begitu, sejak kecil suka beri aku galakan kerana katanya aku rajin membantu dan kini menggantikan peranan ayah di Pasar Pudu untuk mencari rezeki, teruskan kehidupan.

Aku pelawa mak cik yang perkenalkan dirinya sebagai Mak Cik Ina itu duduk di kerusi plastik yang tersedia untuk memudahkan aku menanam gigi palsu ke dalam mulutnya. Dia kehilangan enam batang gigi, namun dia minta aku bikin bahagian penting dahulu kerana wang di dompet tidak mencukupi, katanya.

Setelah selesai aku tanamkan empat batang gigi ke dalam mulutnya, aku berikannya air garam untuk mencuci mulut. Dia ludah kumurannya ke longkang di belakang.  Satu batang gigi palsu yang aku tanam aku caj RM10 sahaja. “Terima kasih Kamil, kalau tak ada kau ke mana lagi kami nak bikin gigi supaya nampak lawa?” Aku senyum padanya setelah not-not kertas aku terima dengan gembiranya.

Hari ini, genap sebulan aku sendirian berniaga di kaki lima Pasar Pudu sebagai “doktor gigi”. Inilah pekerjaan yang tertulis dalam kitab nasib hidupku sejak kecil, menggantikan arwah ayah yang jauh lebih hebat dan terkenal di kawasan ini kerana pengalamannya.

Sejak ayah meninggal bulan lepas, aku teruskan hidup niagakan khidmat ini kepada pelbagai jenis orang yang berkunjung di Pasar Pudu.

Sambil menunggu pelanggan, kadang kala aku tulis puisi untuk disiar dalam akhbar, majalah atau masuk bertanding sayembara. Dapatlah juga aku tambah pendapatan yang tak seberapa menjual gigi palsu pada orang-orang yang memerlukan di Pasar Pudu ini.

Aku tunggal, menyewa di sebuah bilik, tingkat dua di rumah kedai tidak jauh dari Pasar Pudu yang dibawahnya menjual pelbagai jenis peralatan audio. Bingit. Kerana bingit itu juga aku lebih rela bertenggek di Pasar Pudu menjual gigi-gigi palsu yang tiada tarikh luput ini.

Aku berhenti sekolah ketika tingkatan 4 kerana kematian ibu yang juga semangat dan sokongan wang datang daripadanya. Dia pergi dan kemudian ayah. Sebenarnya, aku tidak mahu teruskan pekerjaan ayah dengan menjual gigi palsu ini. Risikonya tinggi. Tapi, untuk terus hidup, dapatkan duit makan dan bayar sewa, aku buat juga. Malah, sebelum ayah meninggal dia pesan untuk aku teruskan hidup dengan jujur dan mencari kerja yang halal walaupun hidup ini perit. Aku tak suka, tapi menjual gigi palsu tidaklah sesusah mana.

Tiada pelanggan lain yang dapat aku ‘cekup’ seperti Mak Cik Ina tadi hinggalah perut aku meriah berdondang-sayang menandakan waktu makan tengah hari tiba. Seperti biasa, anak Aunty Cindy yang berniaga nasi ayam Hainan yang meja jualannya dibuka bersebelahan Uncle Lim penjual sayur, akan datang menghantarkan nasi ayam, timun lebih untukku.

Hui Ying, gadis Cina bermata bulat, berambut kerinting halus ini adalah anak gadis peniaga paling manis di Pasar Pudu. Ramai peniaga-peniaga lelaki yang lama dan baru di sini menunjukkan minat padanya. Kulit putih gebu, sifat lemah lembut dan ramah terhadap ibunya dan peniaga-peniaga di sini mencairkan banyak hati lelaki, tapi mungkin bukan aku. Bonus, dia suka berkebaya!

Suasana Pasar Pudu ketika tengah hari tidaklah terlalu ramai manusia, tetapi tidak juga terlalu sedikit. Sedang-sedang saja kata orang.

“Mama tiada di rumah malam ini. Mahu teman aku di rumah?” Tanya Ying sambil menemani aku makan nasi ayam Hainan mamanya yang tidak pernah menjemukan itu. Mungkinkah nasinya yang cukup mentega atau ayamnya yang diperap dengan baik? Entahlah.

“Kau mahukah?” Tanya Ying sekali lagi sedikit menjerit. Uncle Lim berdehem, tersengih pada kami.

“Tengok dulu lah. Hari ni aku plan mahu siapkan sepotong puisi. Idea dan isinya sudah ada. Cuma tidak siap lagi.” Aku menolak memikirkan puisi itu sudah hampir siap agar lekas boleh dihantar ke surat khabar.

Ying berlalu sedikit sebal setelah mengucap sepatah “bye” padaku.

Aku kemudiannya terus menanti pelanggan sambil merenung pada tiga perkataan yang tertulis di buku 555 itu. Tiga benda pertama yang mencuri perhatianku hari ini dan ia wajar menjadi objek hidup dalam puisiku. “Tapi bagaimana?” Aku bertanyakan pada aku.

Jam 4:00 petang, ramai peniaga sudah mula mengemas barang niaga mereka. Bimbang dihalau DBKL jika melebihi tempoh masa menjaja yang dibenarkan.

Aku lihat Uncle Siva yang berniaga ikan laga di hujung jalan Pasar Pudu sudah mula membawa turun ikan-ikan laganya yang digantung dengan tali rapia.

Aku mula melipat kerusi, tapi entah dari arah mana muncul sepasang suami isteri dengan anak lelaki mereka berumur dalam lingkungan enam tahun yang teresak-esak menangis, diselangi dengan lolongan dan kedua-dua tapak tangan menampar-nampar bahagian kiri dagunya.

Melihat keadaan anak lelaki mereka yang mengelupur serupa cacing kepanasan itu, aku tahu ia kerana giginya berlubang.

Aku ambil kembali kerusi plastik yang telah aku letakkan atas troli tadi dan biarkan kanak-kanak itu duduk di situ. Kurus betul dia sama seperti emak dan ayahnya.

“Saya kena gerudi sikit sebelum tampal. Cik berdua boleh tolong pegang kedua-dua tangannya?” Emak dan ayah kanak-kanak itu memegangnya kejap sambil meminta anak mereka itu bertenang.

Gigi garhamnya aku gerudi dan ditampal dengan ‘serbuk ajaib’ bagi menutup gigi yang berlubang itu. Mengelupur juga anak itu ketika giginya aku gerudi tapi itu sajalah caranya untuk pastikan sakitnya berkurangan. ‘Serbuk ajaib’ itu selalu berhasil menghilangkan sakit gigi pelanggan-pelanggan yang berlubang. Ramuan ayah dan ia rahsia.

Setelah kanak-kanak itu berkumur dan meludahkan sisa kumuran yang bercampur darah ke gigi longkang, mereka pulang dan wajah resah emak dan ayahnya bertukar tenang. Ia memberi tenang juga dihati aku kerana sedar, perkhidmatan yang aku warisi dari ayah ini memberi makna dalam kehidupan masyarakat yang kurang mampu berjumpa doktor gigi tulen di klinik atau hospital.

Malah, ada juga beberapa kali pelanggan-pelanggan tetap ayah datang kepadaku atas macam-macam sebab dan memujiku. Kata mereka, skil aku sudah sama hebat dengan arwah ayah, pengendalian peralatan dan rawatan juga semakin pantas, walaupun baru sebulan menguruskan perkhidmatan ini sendirian. Ia selalu membuat aku rindu pada arwah ayah.

Selesai hari ini. Aku hanya mahu pulang dan menyiapkan puisi yang tertangguh dari pagi tadi.

*****

Hari baru. Puisi semalam tidak sempat aku sudahkan. Aku tertidur sesampainya aku ke bilik petang semalam sampai ke pagi ini. Entah apalah yang aku letihkan. Sial betul!

Aku menolak troli hingga ke lokasi niagaku. Hui Ying dan mamanya sudah selesai menyiapkan meja dan menggantung beberapa ekor ayam telah siap direbus. Dia senyum manja padaku. Tapi, aku tak mampu membalasnya kerana puisi aku belum juga siap!

Lipas,

Kapal kertas,

Pisau lipat karat

Aku buka buku 555 ke muka surat yang mengandungi tiga perkataan ini. “Ah, kenapa tepu sangat otak sampai tak boleh hasilkan apa-apa dari tiga benda ni?” Getusku dalam hati.

Hari baru dan aku mulakannya dengan ‘mood’ yang tidak baik. Hari ini, aku harap lebih ramai pelanggan datang, atau paling tidakpun aku berjaya ‘cekup’ mana-mana orang tua yang giginya sudah tinggal dua, tiga, atau empat, atau…

Kebiasaannya, dalam sehari pasti ada dua atau tiga orang datang mencari gigi palsu. Ada yang mahu khidmat pasang gigi penuh, gigi jambatan, tampal gigi berlubang dan sebagainya. Selalunya, bayaran upah daripada dua atau tiga pelanggan itu sudah cukup untuk aku jalani hari esok dan sedikit simpanan buat bayaran sewa bilik.

Jam 10:00 pagi dan Pasar Pudu padat sehingga seseorang yang ingin lalu perlu memberikan jalan pada seseorang yang lain. Jarang manusia dapat bertenang jika melalui Pasar Pudu ketika dipenuhi orang. Dapat aku lihat wajah-wajah sebal manusia disedut keramaian manusia berjalan di lorong sempit pasar ini.

Kemudian aku ternampak Devend anak Uncle Siva Ikan Laga, antara pencopet handal Pasar Pudu, di celah-celah manusia. Waktu-waktu begini memang Devend dan ramai pencopet lain keluar ‘bekerja’. Kalau tidak, memang tidak akan nampak batang hidungnya yang tinggi macam hero hindustan itu.

Dia membesar sama-sama denganku dan kata Uncle Siva, itu sahajalah kebolehan yang diberikan Tuhan kepada Devend tetapi sekurang-kurangnya dia mampu bantu beri sesuatu untuk keluarga kerana Uncle Siva ada ramai anak-anak masih kecil dan mereka dihantar ke sekolah.

“Biarlah kita susah, jadi pencuri atau jual dadah sekalipun, asalkan tidak tertangkap dan adik-adik Devend tetap dapat ke sekolah,” lain benar pendapat ketua keluarga ini dengan bapaku yang lebih memilih agar aku berhenti bersekolah untuk membantunya di Pasar Pudu merawat gigi-gigi pelanggan setelah ibu pergi dulu.

Aku secara personal tidak merasa ada keperluan untuk melaporkan pencopet-pencopet ini kerana kadang-kadang aku dan beberapa orang peniaga lain menerima habuan sekeping dua wang kertas merah. Itu bonus. Malah pada waktu lain, mereka jadi ilham untuk puisi-puisi yang aku tulis. Pernah juga salah satu puisiku bertajuk ‘Copet’ menang Sayembara akhbar Berita Harian!

Ketika ralit melihat sini dan sana, seorang nenek datang menerpa dan terus menendang kotak-kotak gigi palsuku. Aku cuba mengecam nenek ini yang tiba-tiba datang menyerang. Malangnya, aku teringat yang aku pernah beri rawatan gigi dan buatkan satu set gigi palsu penuh untuknya. Pun begitu, namanya aku tidak ingat.

Hari ini, di sebelah kiriku, ada meja Pak Cik Teo penjual ubat kuat ‘Vigra’ dan beberapa jenis alat bantuan seks. Dia juga terkejut hingga dengan pantas terus berdiri. Kami menenangkan nenek itu yang kemudian menjerit-jerit melaungkan dengan ayat-ayat tidak jelas, “aku nak panggil polis!”

“Budak ni jual gigi palsu yang palsu!”

“Kau orang jangan beli dengan dia!”

“Padanlah harga murah, palsu rupanya!”

Pertama kali aku  diserang begini, jadi aku agak kaget lebih-lebih lagi apabila ramai orang mula berhimpun untuk melihat dan merakam gelagat nenek yang aku masih tidak ingat namanya itu. Dia mencabut, lalu membuang gigi palsu penuh miliknya ke atas jalan tar Pasar Pudu. Dia yang berbaju kedah dan berkain batik itu menginjak-injak gigi palsu itu di bawah tapak selipar getahnya sambil menangis dan meraung. Kainnya terangkat sampai ke peha.

Pengunjung-pengunjung pasar yang melihat kejadian itu ada yang berbisik-bisik, ada yang merakam dengan telefon pintar, ada yang ketawa melihat dari jauh, tapi ada juga yang cuba menenangkan nenek itu. Aku? Gigi palsu yang berselerak itu aku kemaskan kembali ke dalam kotak bersama Pak Cik Teo. Sambil mengemas, lelaki Cina tua itu tak henti-henti mengomel tentang masalah yang ditimbulkan nenek tua yang mengadu gigi palsunya itu palsu.

“Nek, gigi palsu ini sudah 3 tahun ayah saya jual dan sekarang saya pula sambung menjualnya. Walaupun baru sebulan, tapi tidak pernah lagi ada yang datang mengadu gigi palsu ini yang palsu.” Kataku dengan nada memujuknya yang baru lepas meludah pada gigi palsu dan kapal kertas yang hancur di tar.

Nenek itu kemudiannya kelihatan sedikit tenang dan sudah berhenti menangis.

“Gigi palsu ini palsu sebab aku tak boleh nak mengunyah. Pernah sekali aku teringin makan kacang, aku kunyah kacang itu tapi bahagian garhamnya hancur!” Sepatah, sepatah dia tuturkan. Walaupun pelat kerana tinggal gusi sahaja, masih dapat aku fahami.

Aku buat-buat terkejut. Beberapa orang yang masih di situ memandang aku dengan pandangan yang tak dapat aku jelaskan. Ramai yang sudah beransur pergi sejak nenek itu kelihatan tenang dan kainnya sudah diturunkan. Dia kini bersila di atas jalan tar dengan gigi palsu di sebelahnya. Adakah gigi-gigi palsu simpanan ayah ini sudah sampai tarikh luput? Itu saja dapat aku fikirkan.

Aku mula terfikir idea untuk sebuah puisi baru yang boleh aku gabungkan dengan tiga benda yang aku catat semalam. Tapi, ya ini bukan masanya kerana aku terdengar siren polis dan ini merupakan petanda tidak baik!

Aku ucapkan terima kasih pada Pak Cik Teo yang membantu mengemas gigi-gigi palsu berteraburan tadi dan mengangkat kotak-kotak itu ke atas troli, terus meninggalkan nenek itu yang masih memandang kosong ke tengah jalan raya. Aku bersalaman dengan Pak Cik Teo yang juga sedang mengemaskan ubat-ubatan dan peralatan ‘mainannya’. Pasar Pudu kembali tenang seperti tak ada apa. Kejadian nenek tua meraung gigi palsunya palsu dan mengangkat kain sehingga peha tadi sudah dilupakan. Tapi, aku yakin ia akan jadi bahan ketawa di dunia maya setidak-tidaknya untuk dua hari berturut-turut.

Dalam perjalanan pulang, sambil menolak troli dengan kotak-kotak mengandungi gigi-gigi palsu dan peralatan rawatan gigi, mata aku di jalanan. Beberapa ekor lipas masih banyak di longkang dan beberapa ekor yang lain berani ke tengah lorong Pasar Pudu, sebelum mati dipijak selipar buruk para pengunjung.

Ah, hari ini tak ada satu mulutpun yang sempat aku pasangkan gigi. Bermakna tak ada sekeping ringgit pun masuk ke poket. Pasti ada aduan daripada orang ramai tentang aku yang mereka panggil ‘doktor hantu’. Aku pasti kejadian nenek itu tadi sudah menarik perhatian ramai dan daripada ramai-ramai itu mesti ada yang melaporkan jualan gigi palsu aku. Okay, balik ini aku janji puisi semalam, siap!


Return to the collection


Illustration by Syafiqah Sharom

About the Author

Sheera Ghafar

Sheera Ghafar is a writer for one of Malaysia’s major political organizations. She writes on a wide range of topics and is particularly interested in writing about social issues such as poverty and oppression. Sheera Ghafar ialah penulis untuk salah satu parti politik terbesar di Malaysia. Dia menulis tentang pelbagai topik, dan mempunyai minat khusus dalam isu […]

Related