Kilometer 0 (perjalanan bermula):
Keretapi berteriak di atas landasan senja itu, dan gerabak pun mulai bergerak beransur-ansur. Aku menyandarkan tubuh di kerusi, mengamati jendela yang perlahan-lahan menukari latar. Kami sudah pun meninggalkan stesen Padang Besar yang menghubungkan dua negara Asia Tenggara ini, lalu menuju ke stesen Hatyai, pangkalan pengangkutan awam di Thailand Selatan. Menerusi stesen Hatyai aku difahamkan oleh pakcik loghat Kelantan serentak jurukeretapi di hadapanku ini, kau boleh pergi ke tiga negeri melayu Thai dengan perjalanan yang hanya memakan satu jam. Mu gi situ, deh. Oghe melayu seghupo kito jugok. Aku mengangguk mesra. Tapi itu bukan matlamatku. Destinasiku jauh ke jantung ibukota – di Bangkok. Dengan jarak jasmani sejauh sembilan ratus sembilan puluh tiga kilometer dari sempadan negeri.
Pakcik yang bernama Daud itu berkecek Siam dengan jurukeretapi-jurukeretapi Thai yang lain, sesekala ‘Malaysia’ timbul dalam percakapannya sambil menunjuk-nunjuk kepadaku. Lalu mereka tersenyum. Kami berbual-bual sementara keretapi melepasi dusun-dusun, padang hijau, rumah-rumah setinggan, dengan matahari yang semakin tenggelam. “Sudah tiga puluh tujuh tahun aku mengenderai keretapi,” ujar pakcik itu. “Kami berulang-alik dari Bangkok ke Padang Besar menghantar dan menyambut penumpang. Aku sayangi keretapi ini dan kru-kru seperti keluarga besarku sendiri.”
“Kalau kamu sampai di Bangkok nanti, hati-hati dengan makanan. Tanyakan dulu jika mereka hidangkan babi. Atau kekadang, mereka masak memakai minyak babi. Tapi di Bangkok ada banyak orang melayu kita. Nanti tanyakan mereka resto-resto yang halal di sana. Mereka pasti tahu.”
Selain pakcik ini, gerabakku sepi. Di kakilima orang langsung tiada lalu-lalang. Selang beberapa kerusi di belakang tersandar sepasang wisatawan eropah tua yang sedang beristirehat. Di kerusi sisi juga terdapat seorang penumpang sami Buddha dan wanita Thai yang kelihatan separuh umur, menjinjing beg berat. Menurut bacaanku, perjalanan dari stesen Padang Besar ke stesen Hua-Lumphong akan memakan masa sebanyak 18 jam. Aku sudah bersedia benar.
“Berapa usia gerabak ini,” soalku.
“Dua dekad,” sambutnya. “Tetapi masih bagus dan tiada cacat cela. Kami menjaganya dengan penuh prihatin.” Kami berbual dan bertukar-tukar cerita; “ya aku dari Kuala Lumpur. Masih muda, pak. Membujang lagi. Benar, kedua orangtua saya masih hidup dan bekerja. Ini kali pertama saya ke Bangkok, kali kedua saya mengambil keretapi dari perbatasan. Sebelum ini saya bercuti-cuti di Hatyai, selama empat hari. Itu pun dua tahun lepas. Saya di dalam pengembaraan melalui jalan darat ke tiga negara: Thailand, Kemboja, Vietnam.”
Akhirnya lokomotif kami tiba di stesen Hatyai. Dia menunjukkan satu poster yang tergantung di benteng: tinju merah yang dikepal ke udara, bersama sarikata aksara Thai. “Itu union kami,” sebutnya tersenyum. “Kami melawan tauke-tauke yang cuba mengurangi gaji dan mencerobohi hak-hak kami. Sayangnya, kawan-kawan kami ada yang tertangkap. Empat tahun dipenjarakan atas pertuduhan subversif.” Katanya lagi menggeleng-geleng kepala.
Dia turun, sebelum mengucapkan selamat kepadaku untuk meneruskan perjalanan. “Semoga perjalanan kamu dirahmati tuhan, nak. Hubungilah aku bila kau bertandang ke Patani nanti. Aku akan bawakan kau berjalan-jalan di sana. Jangan lupa lawati Sungai Kesedihan sesudah kau selamat sampai di Bangkok nanti. Sungai itu akan bercerita tentang kenestapaan orang-orang kita.”
Keretapi masih tidak beranjak. Makcik-makcik bertopi pesawah bermundar-mandir di kakilima sambil berteriak sesuatu di dalam bahasa Thai. Aku tidak tahu apa yang diucapkan, tetapi nampaknya mereka sedang memegang dulang dan di atasnya ada beberapa ketul ayam goreng berempah dan pulut kuning. Tiba-tiba perutku berkeroncong. Aku memanggil mereka dan membayar untuk satu set sajian. Bekalku buat perjalanan malam, fikirku.
Kapungkrap, jawabnya. Sambil tangan didekapkan sebagai adat berterima kasih di negeri ini. Aku mengulanginya juga, kekok.
Wisel ditiupkan dari kakilima stesen: isyarat bahawa keretapi akan melanjutkan perjalanan lagi. Perlahan tetapi pasti, keretapi pun maju. Sesekali ketika ia memecut, gerabakku bergoncang, berselang-seli dengan gemersik landasan yang membingitkan kedua belah telinga. Selain daripada bunyi-bunyian itu, gerabakku cukup sunyi. Masing-masing pun agaknya kepenatan setelah menunggu keretapi di stesen Padang Besar tadi. Matahari sudah tenggelam betul sekarang. Di luar hanyalah rupa bentuk pokok-pokok dan rumah-rumah yang terlindung di balik bayang-bayang. Orang-orang sudah pulang ke rumah untuk makan malam mereka dan berehat. Aku memasang lagu Tom Waits dan melelapkan diri. Aku cuma fikir itu suasana yang paling sempurna untuk mendengar nyanyian lelaki Amerika yang sendu itu, sambil menyaksikan dunia berlalu daripadaku seperti mimpi-mimpi yang jauh dan hiba.
Kilometer 45:
Kru keretapi itu merapatiku lalu meminta aku berdiri. Dia menyelongkarkan kerusi itu dan voila, kerusiku kini dihamparkan menjadi katil yang bersih dan selesa. Aku berterimakasih kepada lelaki berseragam itu dan menyambung untuk berbaring. Tetapi tidak lama. Permandanganku di luar amat hambar. Beberapa penumpang lain sudah pun melabuhkan tirai di kamar mini masing-masing. Barangkali sedang tidur atau menonton film via telefon sendiri. Aku cuba membaca buku yang kubawa, tetapi fokusku kacau-bilau. Gerabak bergoncang-goncang.
Akhirnya aku bertanya kepada kru tadi. Di mana ada kafe di keretapi ini? Dia tak mengerti. Aku ulangi pertanyaanku lagi. Kafe. Tanganku membuat aksi hendak makan. Baru dia faham. Dia menuding ke belakangku, selang beberapa gerabak terdapat satu kafe sederhana yang terkendali oleh jurukeretapi. Ah, masalah dari zaman Babel, terbawa-bawa ke keretapi ini…
Aku melintasi gerabak demi gerabak. Dua gerabak pertama kelihatan identik dengan gerabak milikku: berkatil, berhawa dingin, lengkap ditabiri langsir hijau dan ruang privasi bagi penumpang-penumpangnya. Ini dah tentu gerabak kelas pertama dan kedua, fikirku. Sembilan ratus enam puluh baht, getusku. Boleh tahan.
Kakiku melangkah ke gerabak di hadapanku – yang ini ternyata berbeza. Gerabak kelas ketiga adalah seperti mana-mana gerabak yang kau tonton di dalam film-film klasik; berkerusi tegak, orang-orang yang terbaring terlentang di lantai, jendela-jendela yang ternganga luas sambil diterobosi bunyi-bunyi bising alam, dan lampu-lampu yang berbalam. Mereka memandangku tatkala aku melintasi di kakilima. Kebanyakan mereka kelihatan daripada kelas buruh, petani, atau orang-orang yang bergantung kepada tiket murah untuk selamat tiba ke destinasi. Keselesaan bukanlah suatu keutamaan bagi mereka ini. Seorang wanita bertopi petani yang menjual pulut sedang menyandarkan kepalanya di dinding, barangkali lena di dalam keletihan. Di kakilima terdapat juga orang yang membentang tikar dan bertidur mati, seperti langsung tak terkesan dengan goncangan gerabak yang membelok di atas kerikil.
Dua pemuda berjaket denim sedang merokok di tepi jendela. Kedua kelihatan melayu. Aku meminjam pemetik api darinya dan menyertainya untuk sesi merokok. Mujur aku sempat belikan dua bungkus Chesterfield dari KL sebelum menaiki keretapi ini. Kemudian aku menyedari bahawa mereka juga dari Patani – banyak juga penumpang keretapi ini dari wilayah sana.
Keretapi berhenti. Aku mecangakkan kepala keluar jendela. Pada papan tanda aku melihat aksara Thai. Kami di sebuah pekan yang sunyi. Aku bertanya kepada dua lelaki itu, apa nama tempat ini? Pada baris bawah itu kelihatan seperti aksara rumi sebagai terjemahan, tapi mataku tak terjangkau untuk menangkapnya. Mereka turut mengeluarkan kepala dan membaca tulisan itu, sedikit merangkak tetapi sengaunya tepat persis orang-orang Siam. Dia ucapkan nama pekan ini, suatu nama yang aku lupa untuk tuliskan. Tetapi aku kagumi dua pemuda ini yang dapat membaca huruf-huruf tersebut.
Kafeteria tak punyai banyak patron ketika aku sampai. Hanya ada seorang makcik thai yang sedang ralit bercakap di telefon. Kafeteria kelihatan usang dan kusam, dengan kaunter yang dibarisi cerek dan paket-paket mee segera dengan aksara thai dan jawi. Aku mengambil meja hujung dan memesan teh susu. Pelayan menghidangkan kepadaku minumanku di dalam cawan kertas dan beberapa paket gula. Aku menyandar dan mencampak pandanganku keluar: beberapa penumpang turun dan naik. Kebanyakan warga lokal. Jurukeretapi mengibaskan bendera hijau dari kakilima stesen; isyarat bahawa keretapi selamat untuk meneruskan perjalanan. Di jendela, Thailand Selatan melintasi seperti layar yang sepi dan muram. Tiba-tiba aku sendiri menjadi tidak pasti untuk pertualanganku kali ini. Apa persiapanku untuk melintasi tiga negeri ini? Sifar. Nol. Zilch. Aku sendiri tidak tahu nama hotel yang harus kutumpangi sesudah tiba di kota metropolitan itu nanti. Itinerari langsung tidak ada. Asas bahasa mereka pun aku tak fasihi.
Kilometer 358:
Sekumpulan lelaki melayu singgah di meja sebelahku. Kami melabun bertukar-tukar cerita. Rupanya sebagian mereka pernah dan sedang bekerja di Malaysia – sebagai pak guard, pelayan restoran, buruh kilang, dan kelindan lori yang menghantarkan bahan-bahan dapur ke serata negeri-negeri pantai timur. Sebilangan mereka dapat berbicara di dalam bahasa melayu baku dengan cukup petah – berkat menimba pengalaman di tanahairku. Dua lelaki berjaket denim yang kuteguri tadi juga turut menyertai lingkungan kami. Semuanya ramah dan mesra.
Aku sentiasa merasa aneh ketika berhadapan dengan orang melayu di luar Malaysia: jika kau hidup terlalu lama di dalam tempurung, kau hanya akan fikir bahawa kaum melayu hanya bermukim di negaramu. Walhal yang sebaliknya terjadi. Kaum melayu telah lama bertebaran di seantero Asia Tenggara, bahkan membentuk identiti kolektif yang kita boleh simpulkan sebagai melayu raya, lepas daripada batas-batas nasional di atlas dunia seperti hari ini[1]. Di hadapan cawan teh yang berbusa kami berbual panjang tentang kisah negeri kami yang telah kami tinggalkan di belakang buat sementara.
Mereka mengikuti rapat perkembangan politik di Malaysia. Seorang pakcik berumur menggeleng kepala tatkala aku menyebut nama “Tun Mahathir.” Dia bercakap dengan berhati-hati, tetapi aku mengerti rasa jeliknya. “Memang sudah patut diberi kepada Anwar…” Atau sekurangnya begitulah perjanjian yang termeterai sebelum peralihan kuasa itu berlaku Mei dua tahun lalu. Menyebut nama dua gergasi politikus ini kekadang agak memualkanku. Apakah kita tidak punyai sebarang tokoh lain – mungkin yang bangkit dari barisan pemimpin pemuda? Tapi dah tentu itu mustahil berlaku. Di negaraku yang tebal dengan adat sopan warisan feudal, wajah muda adalah yang terakhir kau jangkakan di muka depan politik arus perdana. Seperti sudah ada pra-tanggapan yang termaktub bahawa yang tua-tua handal kendalikan urustadbir negara, sementara yang muda-muda pula hanya perlu akur saja dengan titah-titah. Yalah, apa yang kau boleh harapkan daripada sesebuah negeri yang pernah menghukum Hang Nadim?
“Tetapi, negaramu bertukar pemerintah juga, meskipun sesudah enam dekad…” sambut lelaki berkumis tebal di hadapanku. Aku juga tidak tahu bagaimana mahu membalas. Jariku menjentik abu rokok keluar menerusi jendela, lalu kucicip teh suam. “Tapi ekonomi kami tidak berjalan baik seperti yang kami jangkakan…” Jawabku. Separuh sakit hati mengenangkan transaksi pertukaran matawang yang telah kubuat awal-awal di kiosk KL beberapa hari sebelum. Seingatku dulu, ketika aku berkunjung ke Krabi bersama kawan-kawan lima tahun lalu, Ringgit masih lagi matawang yang lumayan. Nilai matawang Malaysia dijangka susut lagi beberapa minggu mendatang.
“Tetapi aman… ekonomimu stabil… rakyatmu aman-makmur.”
Aku terdiam. Siapa kau nak menyangkal kata-kata itu yang terpacul dari bibir orang yang negerinya kacau-bilau? “Ya, secara relatifnya begitu.”
“Aku pernah pelawa seorang kawan dari Terengganu untuk melawati Thailand. Datang ke sini, ucapku. Aku boleh bawa kau berjalan-jalan. Psal bahasa kau tak usah risau. Aku ada. Kita boleh kecek nayu, kita boleh kecek siye.
“Tapi dia takut.” Sambung lelaki yang berkulit gelap di hadapanku. “Dia kata, dia tak nak kena bedil.”
Aku tak berkata apa-apa.
“Tapi abang berani. Datang seorang diri dari KL begini. Sebenarnya tak ada apa pun yang perlu ditakutkan. Mereka takkan kacau orang-orang awam. Memang betul negeri-negeri kami penuh sengketa, tetapi ia bukanlah medan pertempuran.”
Aku membayangkan negeri-negeri itu yang sentiasa di kancah pertempuran. Aku tidak pernah menjejak kaki ke sana, apatah lagi mempunyai sanak saudara yang berasal dari Patani, Yala, dan Narathiwat. Jurai bapaku datang dari sebelah Pahang. Ibuku pula anak Negeri Sembilan, selang beberapa keturunan daripada migran-migran Minangkabau yang pernah bermukim di Malaya lalu membuka perkampungan. Pendek kata, aku seorang anak pantai barat tulen. Berbeza dengan rakan-rakan dihadapanku ini yang setiap paginya menghadapi matahari yang terbit dari perut Laut China Selatan.
Daripada tulisan-tulisan Karim Raslan, Farish Noor, Zakariya Amataya, dan Isma Ae Mohamad, aku cuma dapat menerka, atau menyambung serpih-serpih cerita menjadi suatu gambaran yang tak lengkap. Aku tahu ia wilayah sengketa; serta hubungan tegang antara pemerintah Bangkok dengan warga-warga melayu di sana. Aku juga terbaca pasal Perjanjian Inggeris-Siam 1909 dan projek siamisasi. Tentang bagaimana pemerintah cuba memadamkan jejak budaya dan bahasa orang-orang tiga negeri ini supaya mereka berasimilasi menjadi warga Thai yang ideal, membelakangi lima ratus tahun sejarah yang mengikat mereka dengan tanahair mereka itu. Apa yang menjentikku adalah bagaimana konflik-konflik ini berlaku begitu hampir dengan negaraku. Hanya sepelaung dari negeri-negeri utara dan pantai timur, kau akan mendengar pasal pemaksaan identiti, pemberontakan separatis, bom-bom yang meletus, sekolah terbakar, dan korban yang memakan ribuan jiwa. Isu yang sememangnya kompleks. Ia menuntut kau untuk berkelana ke sana untuk menghurai lapis-lapis masalah yang bertindih di sana.
“Jadi bagaimana? Adakah hubungan kalian masih baik dengan pusat pada hari ini? Atau…”
“Itu isu sensitif,” seloroh orangtua itu. Dia ketawa terbahak. “Kamu tanya seperti wartawan. Ha ha ha. Tapi ya, sudah tidak tegang seperti dulu. Meskipun sebilangan anak-anak kami dihantar ke sekolah kebangsaan, kami tetap mengajari mereka bahasa melayu. Kita tak mahu mereka lupakan bahasa ibunda. Serentak, kami juga mendorong mereka supaya belajar bahasa thai. Kami memerlukan mereka untuk bisa hidup di dua ibukota. Itulah mungkin boleh disebut sebagai dilemma anak-anak di sempadan…”
Mataku tertancap pada dua pemuda berjaket denim tadi yang membacakan papan tanda buatku. Inilah hasilnya. Anak-anak yang bertutur melayu di rumah, tetapi pelajari mengenal aksara-aksara thai di bangku persekolahan. Bagaimana agaknya untuk dilahirkan dan tumbuh dewasa di sepanjang sempadan negara – kepada manakah kau tambatkan identiti, bahasa, lalu kepada daulah manakah yang akan kau tumpahkan taat setia? Pertanyaan-pertanyaan ini tentunya menarik bagi pengkaji-pengkaji lapangan, atau bagi sarjana-sarjana yang sering bersidang di puncak menara gading, tapi bagi mereka yang dihimpit konflik, hidup tentunya penuh kekeliruan. Adakalanya, maut menanti di setiap persimpangan. Peristiwa Tak Bai 2004 menyala-nyala di dalam retinaku.
Jurukeretapi datang menghampiri meja kami. Dia mengatakan sesuatu kepada anak-anak Patani itu, yang kemudian dibalasi mereka di dalam bahasa thai juga. Si pemuda menoleh kepadaku. “Mereka ingin tutup kafe ini. Kita boleh datang untuk minum kopi di sini esok.”
Lorong gerabakku masih sunyi ketika aku sampai terhuyung-hayang, ccuba menstabilkan diri di atas lantai yang sentiasa bergetar-getar. Aku menyelak langsir dan membaringkan tubuh. Mungkin teh yang kuhirup tadi telah membuatku mengantuk. Susu memang ubat mujarabku bagi memastikan aku tak berjaga lambat sekiranya aku mahu bangkit awal pada hari keesokan. Jendela masih kelam. Tiada apa-apa yang dapat kulihat pada jam-jam lewat seperti ini. Sesekali raungan Lokomotif -46 dari jauh terdengar lembut di telingaku. Tak berapa lama, aku terlena. Keretapi terus pacu menembusi kulit malam.
Pada jam yang entah keberapa, keretapi merentasi Segenting Kra, laluan darat yang tersempit di semenanjung ini sebelum memasuki benua Thailand yang lebih luas.
Kilometer 768:
Bilah matahari yang pertama menusuk wajahku. Dalam mamai aku terjaga. Tilam yang empuk dan udara yang sejuk seperti ingin segera menarikku ke alam lena, tetapi suria sudah pun naik memanjat dada jendela. Di seberangku terhampar padang hijau nan luas. Ilalang-ilalang perang berkilauan, sesekali meliuk-liuk, bersama embun-embun pagi yang tergantung di hujung rumput. Aku memisat mataku. Di manakah aku sekarang? Buat lima saat pertama aku hampir-hampir lupa bahawa aku sedang menumpangi lokomotif purba ini, menuju ke jantung Thailand, dan bahawa semalam aku telah terlena dengan wifi telefon yang masih terpasang (seharusnya aku memadamkan sebelum tidur demi menjimat tenaga dan data). Kabus-kabus semakin menipis di ufuk, berundur di sebalik pokok-pokok yang tumbuh perkasa di perbatasan rerumput. Ini sabda alam, getusku.
Sekali lagi aku menuju ke kafeteria untuk mendapatkan secawan kopi, atau mungkin seorang dua kawan untuk diajak berbual sementara menembusi daerah kedesesaan ini. Gerabak kelas ketiga sudah terang benar sekarang. Rata-rata penumpang yang kulihat tadi sedang berjaga sambil berbual, meladeni kawan-kawan sambil menikmati pemandangan. Dua lelaki yang bertegur sapa denganku semalam masih terlena. Sementara beberapa yang lain tak kelihatan. Barangkali sudah turun di stesen entah mana ketika aku masih tidur.
Kafeteria hingar-bingar. Suara-suara bahasa thai, inggeris, dan perancis bersaing-saing melawani pekik nyaring enjin lokomotif. Air hangat tiba di mejaku. Mataku menatap potret sang raja di tepi dinding: Raja Bhumibol yang baru mangkat beberapa tahun lepas. Di belakangku seorang farang sedang membelek-belek kameranya. Mungkin juga dia datang sama denganku dari KL tadi. Seperti pernah kulihat wajahnya. Tapi aku tak endahkan. Jurukeretapi bertanya sesuatu kepadaku, tapi selepas aku tak menjawabnya dalam bahasa thai, dia tak menghiraukan. Kemudian datang pula kawan melayu Pataniku yang diajak berbual pada beberapa jam sebelum. Dia duduk di hadapanku dan ketawa kecil, “dia ingat kamu orang thai. Jadi dia ajak kecek siye.”
Aku tersenyum.
Kami memesan mee segera dari kaunter (yang sahabatku ini dengan bangga menunjuk pada aksara jawi yang tertampal pada kulit pembungkus; “lihat saudara, ini produk orang Thailand Selatan”). Kami berbual-bual kosong sementara mengisi masa. Dia merungut banyak tentang peluang pekerjayaan yang sulit didapati pada masa kini. “Anakku, ada empat di kampung. Aku ingin mereka pelajari bahasa inggeris. Murid-murid di Malaysia fasih belajar inggeris, kerana itu mereka maju.”
“Tapi kau sudah boleh kecek siye! Setakat ini dua bahasa sudah kau kuasai.”
“Betul, tapi apa gunanya bahasa ini, yang hanya aku boleh manfaatkan di negara ini sahaja. Kalau anak-anakku fasihi inggeris, tingkap dunia mereka akan terbuka serba luas. Aku tak mahu mereka memikul beban yang sama sepertiku.”
“Benar itu,” kataku sambil meniup-niup mee yang berasap. Kekadang aku tertanya sekiranya kolonialisme inggeris tak berlaku dahulu, barangkali Malaya sekaligus Malaysia takkan fasihi lingua franca global seperti hari ini. Penjajahan Barat telah menjarah banyak hasil bumi tanahairku, di samping mewariskan kami dengan masalah-masalah sosial pecah-dan-perintahnya yang mula-mula igariskan ketika puncak zaman pemerintahan. Tapi manfaatnya, walaupun mungkin secara tidak langsung, adalah keterdedahan kepada bahasa inggeris yang kian menjadi bahasa global lewat perdagangan antarabangsa. Melalui ini Malaysia dan jiran kecilnya, Singapura, mampu merebut banyak peluang dagang dan lain-lain ketimbang negara-negara Asia Tenggara amnya. Sudah tentu aku tak mahu berbahas soal keterhakisan bahasa ibunda, yang semakin menjadi-jadi akibat dasar pemerintah dan arus globalisasi. Bahasa ibunda tetaplah bahasa yang mustahak untuk memasakkan identiti kita di dalam pentas dunia yang serba luwes dan berubah-ubah. Ia tanda jatidiri dan kebanggaan nasional yang tak boleh dikompromi. Tetapi kepentingan bahasa inggeris tetap tak boleh diketepikan. Terdapat keindahan di dalam menguasai lebih daripada satu bahasa, atau jika bertuah, dua bahasa dan lebih lagi.
Perhatian kami jatuh kepada sekumpulan buruh yang sedang menyusun batu-bata, kayu-kayan, dan simen sejajar dengan landasan lokomotif – 46. Tiang-tiang didirikan selang beberapa jela. Minatku terkutik. “Apa mereka buat di sana?”
“Mereka nak bikin satu landasan lagi,” ujar sahabatku itu. “Keretapi yang lebih moden dan mewah akan bergerak di atas landasan ini.”
“Keretapi peluru?”
“Mungkin seperti itu.”
“Di mana pangkalnya dan di mana hujungnya?”
“Aku dah lupa.” Katanya menggaru kepala. “Terbaca di suratkhabar thai kelmarin. Pemerintah mahukan pengangkutan yang lebih pantas menghubungkan Selatan dan Pusat.”
Jentolak melonggokkan tanahliat dan lumpur-lumpur ke pinggir. Landasan yang sedang dibina ini benar-benar bersebelahan dengan lokomotif – 46. Kiranya bakal ada dua keretapi yang mengangkut penumpang pergi-balik di antara dua titik. Aku tidak melihatnya semalam, dan aku pasti tidak melihatnya awal pagi tadi. Projek ini barangkali masih baru. Beberapa buruh yang sedang berehat di sisi lori simen berteriak sesuatu sambil melambai-lambai kepada kami. “Apa akan jadi kepada keretapi kuno ini, nanti?”
“Mungkin digantikan juga. Aku tak pasti. Anggaran siapnya di dalam lima tahun lagi. Segalanya tergantung kepada kebijaksanaan pemerintah. Ini kali pertama kau naiki keretapi ini, kan? Sudah bagus. Kau pernah menumpang lokomotif-46 sebelum ia ditukarkan – kalaulah pemerintah berniat begitu. Kau ada hak untuk menceritakan kepada kawan-kawan sekembali ke KL nanti,” nadanya sedikit masyghul.
Aku mencangakkan kepala, menyusuri rangka landasan yang memanjang sampai ke hujung itu. Kemudian aku menyandar ke kerusi semula. Jurukeretapi-jurukeretapi yang berhampiran kami turut memerhatikan projek yang sedang berlangsung di luar. Mereka kelihatan polos. Tetapi ada suatu emosi yang terkilas di wajah mereka yang tak dapat kuterjemah. Apa mereka berasa sedih, khuatir, marah, atau mungkin bernostalgia bahawa lokomotif-46 akan digantikan suatu masa kelak?
Kilometer 908:
Sekembali ke katilku, ia telahpun diubahsuai semula menjadi kerusi penumpang. Tilam yang menghanyutkanku ke jagat lena semalam telah pun diangkut jurukeretapi. Ada seorang perempuan sedang duduk sambil mendengar lagu.
Matahari sudah tinggi benar sekarang. Sudah jam 10 pagi waktu lokal. Latar kami yang asalnya penuh kedesaan dan margasatwa sekarang beransur-ansur bertukar kepada terowong, jalan aspal, deretan kedai, lebuhraya, jambatan, kilang-kilang, rumah setinggan, gereja, sekolah, dan bangunan-bangunan pencakar langit. Kami sudah memasuki wilayah kota, fikirku. Destinasiku barangkali sudah tak begitu jauh.
Sesampai di stesen Bang sue nanti maklumkanku, pesan Isma Ae Mohamad, sahabatku yang bakal jadi peneman dan petunjuk arah di kota raya ini nanti. Aku menghantar emoji tanda ibu jari tegak.
Kilometer 993 (perjalanan tamat):
Lokomotif – 46 tiba di stesen Hua Lamphong[2] pada jam 12 tengahari. Sedikit lewat daripada kebiasaan, jelas Isma Ae ketika menyambutku di platform. Kami berjabat tangan. Kali terakhir kami bersua adalah pada Februari 2017 lepas di Kota Bharu, Kelantan. Aku menghubunginya beberapa minggu sebelum berangkat ke sini. Dengan murah hati dia bersetuju untuk membawaku bersiar-siar di sekitar ibukota negaranya. “Kau dah tentu lapar, kan?”
Kami melangkahi platform, menuju ke gerai-gerai untuk mencari sepinggan nasi. Stesen ini bercirikan neo-renaissance italia, dengan imej Frankfurt (Main) Hauptbahnhof sebagai prototaip pembinaan. Ia dibuka pada 1916, lewat enam tahun ketimbang Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang bercirikan Indo-Arab itu (sampai sekarang aku masih tak faham kenapa pangkalan utama keretapi harus berpindah dari sini ke KL Sentral pada 2001, tapi itu biarlah kita tunda pada hari lain untuk dibahaskan). Di ambang gerbang terletak potret besar Raja Chulalongkorn, sang raja yang membuka pintu modenisasi kepada segenap jagat Thailand. Baginda juga dikenali sebagai sosok yang menyelamatkan Siam daripada cengkaman kolonialisme Barat pada zaman pemerintahannya. Tampangnya yang segak berpingat itu seperti hendak mempelawa, atau menjemput, para rakyat dan wisatawan yang hendak melangkah keluar meresapi ibukota yang pesat dan kosmopolitan, dengan nada yang sedikit bangga dan mesra, selamat datang ke Bangkok moden. Selamat datang ke bandar para malaikat, bandar agung orang-orang kekal abadi, bandar yang dikurniakan dengan sembilan permata berharga, takhta duli yang maha mulia raja, kota Istana Agung, singgahsana tuhan jelmaan, bandar dibina oleh Vishnukarn atas perintah Indra[3].
Dan pengembaraanku baru sahaja bermula.
[1] Anthony Milner: Bahasa Melayu Lisan (bahasa pertuturan) adalah berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Bahasa Melayu dialek Kelantan di pantai timur berbeza daripada dialek Melaka di pantai barat dan Johor disebelah selatan Semenanjung. Manakala orang Deli di Sumatera Timur bertutur di dalam dialek yang lain pula dan ianya tidak sama dengan dialek yang digunakan oleh jiran mereka orang Asahan di sebelah selatan. Namun begitu Bahasa Melayu Persuratan (bahasa penulisan) tidak menunjukkan banyak perbezaan. Dari Kerajaan: Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerintahan Kolonial.
[2] Nama rasminya pada dokumen rasmi Keretapi Negara Thailand adalah Sathani Rotfai Krung Thep (สถานีรถไฟกรุงเทพ). Tiada siapa yang ketahui apa maksud Hua Lamphong dan bagaimana nama ini timbul untuk merujuk kepada stesen utama ini. Pun begitu, sebilangan bahasawan berpendapat bahawa nama ini adalahg gabungan kalimat dua bahasa; iaitu Khua (Thai: Jambatan) dan Lumphong (Melayu: sementara).
[3] Terjemahan nama rasmi ibukota ini: Krung Thep Mahanakhon Amon Rattanakosin Mahinthara Ayuthaya Mahadilok Phop Noppharat Ratchathani Burirom Udomratchaniwet Mahasathan Amon Piman Awatan Sathit Sakkathattiya Witsanukam Prasit กรุงเทพมหานคร อมรรัตนโกสินทร์ มหินทรายุธยามหาดิลก ภพนพรัตน์ ราชธานีบุรีรมย์ อุดมราชนิเวศน์ มหาสถาน อมรพิมาน อวตารสถิต สักกะทัตติยะ วิษณุกรรมประสิทธิ์. Ia direkodkan sebagai nama lokasi yang terpanjang di dunia.
Illustration by Rohini Mani
Subscribe for new writing
Sign up to receive new pieces of writing as soon as they are published as well as information on competitions, creative grants and more.