Read time: 0 mins

PINTU MABRUR

by Maskiah Haji Masrom
9 July 2021

(1)

Ada pelbagai ujian kemabruran haji sepanjang tempoh masyair

Ada yang mengatakan, ujiannya adalah terpaksa berjalan jauh merentasi Terowong Muassim dan bersesak-sesak semasa melontar. Ada yang mengatakan ujiannya adalah berdiri berjam-jam dalam bas menuju ke Muzdalifah. Ramai jemaah haji lelaki yang sihat mementingkan diri. Mereka sanggup duduk selesa dan membiarkan jemaah haji wanita yang uzur berdiri sehingga termuntah-muntah.

Ada yang mengatakan ujiannya ketika bermalam di Muzdalifah. Suhunya sejuk, tidur di atas tikar getah, persekitarannya kotor dan kesukaran mencari batu sebesar kacang kuda. Ada yang mengatakan ujiannya ketika berada di Arafah. Terpaksa bersesak-sesak semasa menggunakan tandas. Tandas cuma ada dua puluh. Jemaah haji ada seramai dua ribu orang. Bermakna satu tandas dikongsi seramai seratus orang. Tandasnya pula agak sempit dan kesemuanya merupakan tandas cangkung.  Hal ini menyukarkan jemaah haji bertubuh besar, uzur dan tidak biasa menggunakan tandas cangkung.

Ada yang mengatakan ujiannya ialah jemaah haji yang kurang menitik beratkan soal kebersihan. Pelapik seluar dalam, seluar dalam pakai buang, tuala wanita yang telah digunakan dibuang dalam tandas. Ada tandas yang tidak disiram selepas digunakan.  Hingus, kahak dan muntah bertepek-tepek di lantai; bau busuk dan hancing terhidu di mana-mana. Terdapat jemaah haji yang mementingkan diri; mandi dan membasuh pada waktu kemuncak. Ada juga yang sanggup memotong barisan, tidak mengutamakan warga tua atau warga kelainan upaya yang berkerusi roda.

Namun bagiku, ujian yang paling mencabar ketika masyair datang dari sebuah pintu.

(2)

“Tolonglah jangan jenguk-jenguk macam ni. Nanti terpandang aurat, berdosa. Nanti tak dapat haji mabrur.  Ustaz Khidir kan dah pesan dalam kuliah maghrib tadi, “perasaan jengkelku sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Pak cik itu buat-buat tak endah. Matanya terus memandang ke dalam khemah. Aku tahu dia mencari kelibat isterinya di petak tiang 65 P.

“Panggilkan orang rumah saya,” arah pak cik berbaju biru dan berkopiah putih itu. Nampaknya dia langsung tidak terasa dengan teguranku tadi. Aku pula buat-buat tak endah. Aku menyibukkan diri mengibas-ngibas pasir yang terlekat di tikar. Kedua belah kakiku terasa lenguh selepas pulang dari melontar. Jarum jam di tanganku menunjukkan pukul 10 malam.

“Orang rumah saya sakit. Saya nak tanya dia dah makan ubat ke? Dia selalu lupa makan ubat,” ujarnya dengan ayat yang sudah boleh kuhafal. Dalam tempoh hampir 48 jam ini, aku sudah mendengar ayat itu lebih dari sepuluh kali. Bermakna sudah lebih sepuluh kali dia datang ke pintu khemah itu.

“Kalau tak makan ubat, nanti dia pengsan kan?” sambungku sambil memandang tepat ke mukanya. Wajahnya nampak selamba.

“Tak apalah kalau tak nak tolong. Saya nak jumpa orang rumah saya.  Som! Som!, “jeritnya sambil melangkah masuk.

“Haji! Haram! Jangan masuk, ini khemah perempuan!” jeritku cemas. Tekakku terasa gatal. Batukku mula mengokol. Pak cik itu tidak peduli. Dia terus meredah barisan jemaah wanita yang kebanyakannya sedang tidur atau berbaring kepenatan.

“Haram! Haram! Keluar haji! Keluar!” terdengar pula jeritan Izan yang kelam kabut mencapai tudung.  Kak Ani, Kak Shima, Kak Gayah, Kak Misa dan Kak Zah kedengaran beristigfar. Kesemuanya terperanjat dengan tindakan berani pak cik itu.

“Nak cari orang rumah, esok sajalah. Dah malam sangat ni. Orang rumah haji pun dah tidur. Orang rumah orang lain pun dah tidur.  Ramai yang tak pakai tudung. Aurat terdedah. Haram kalau terpandang. Masuk khemah perempuan pulak. Ini kesalahan besar. Kalau polis Arab Saudi nampak, boleh kena tangkap tau!” ujarku sambil terbatuk-batuk. Kesabaranku terasa semakin berpuing-puing.

Wajah Izan nampak terkejut. Dia pasti tak sangka aku berani membahasakan pak cik itu. Para pembimbing ibadah haji kerap mengingatkan, jika ingin mendapat haji mabrur, perlu banyakkan bersabar, memaafkan dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang menyakitkan hati. Elakkan bertengkar, bercakap kotor atau melakukan perkara yang bertentangan dengan agama. Haji mabrur itu tidak ada balasan yang layak selain dari syurga Allah. Pak cik itu berpatah balik dan kembali tercegat di pintu khemah.

“Saya bukan tak nak tolong panggilkan orang rumah, haji.  Dah banyak kali saya tolong…,”ujarku sambil terbatuk-batuk. Aku berharap pak cik itu segera kembali ke khemahnya. Aku betul-betul terasa ingin meluruskan pinggang. Aku dapat menangkap riak kecewa di wajah pak cik itu sebelum berlalu.

(3)

Entah mengapa, malam itu terasa amat panjang. Aku sukar melelapkan mata. Rakan-rakan sepetak tiang kebanyakannya sudah lena. Batuk Kak Yam dan jemaah wanita yang lain bersahut-sahutan. Aku memandang ke pintu khemah yang diperbuat daripada kain kanvas yang tebal. Terbelah dua, ada semacam getah perekat untuk mencantumkannya di lima tempat. Tetapi disebabkan pintu kanvas itu kerap diselak, dijengah, dikuak malah dijadikan pintu tempat keluar masuk orang dan barang, akhirnya pintu khemah itu menjadi renggang. Pintu itu sentiasa ternganga sepanjang masa, tidak kira malam atau siang.

Tempat dudukku betul-betul di depan pintu khemah itu. Secara tepatnya, aku berada dalam petak tiang khemah bernombor 43 P bersama-sama empat belas orang jemaah wanita yang lain. Luas tempat duduk dan baringku hanya sebesar sejadah yang kubawa. Setiap masa aku terpaksa membersihkan pasir yang jatuh dari selipar dan kasut yang dijinjing oleh para jemaah. Setiap masa aku terpaksa mengelak, menunduk dan mengecilkan badan untuk memberi laluan kepada sesiapa sahaja yang hendak keluar masuk.

Aku juga terpaksa berkelubung sepanjang masa. Aku tidak boleh menyikat rambut atau menyalin pakaian sesuka hati.  Aku tidak mahu auratku terdedah. Aku juga tidak boleh berbaring walaupun badan terasa lenguh. Aku terpaksa bersila, bersimpuh atau melunjur sepanjang hari. Buruk sangat rasanya berbaring di depan jemaah lelaki yang asyik mundar mandir ke sana sini. Memang tempat yang ditakdirkan untukku dalam tempoh mabit di Mina amat tidak selesa. Namun aku redha dengan ketentuan Allah. Mudah-mudahan Allah juga akan redha denganku.

Pintu khemah itu mempunyai pelbagai cerita. Ia menjadi tempat pembahagian makanan untuk sembilan ratus jemaah wanita. Pek makanan, roti, buah-buahan, air botol, air panas, mi segera, biskut kesemuanya dihantar ke situ. Setiap kali makanan tiba, aku dan rakan-rakanku terpaksa berdiri kerana kehilangan tempat duduk buat sementara. Selagi kesemua makanan itu tidak diagihkan, aku dan rakan-rakanku tidak dapat menikmati makanan. Aku dengan sukarela menjadi wakil yang bertanggungjawab mengira jumlah pek makanan yang diedarkan. Bukankah semasa mengerjakan haji, setiap jemaah dituntut berlumba-lumba membuat kebajikan?

Tugas itu nampak mudah tetapi rupa-rupanya banyak ujian yang menanti. Aku terpaksa menghadapi pelbagai karenah jemaah. Ada yang marah-marah tidak dapat roti. Ada yang bising-bising tidak dapat buah. Ada yang merungut-rungut tidak dapat mi segera. Malah ada yang datang menuduh aku mengambil pek makanan mereka!

Masalah makanan berlaku setiap kali waktu makan. Aku terpaksa merayu kepada para jemaah agar jangan mengambil makanan yang bukan hak mereka.   Aku juga terpaksa menahan malu berjumpa wakil muasasah agar menambah pek makanan yang kurang. Wakil muasasah kurang senang dengan permintaanku. Aku telah menandatangani borang mengesahkan makanan yang diterima mencukupi. Aku memang berasa serba salah. Tersepit antara dua keadaan. Aku perlu bersabar. Mudah-mudahan kesabaran itu mendapat balasan haji yang mabrur.

(4)

Namun menangani soal pembahagian makanan itu tidak sesukar menjadi tukang panggil isteri orang di depan pintu khemah. Aku kasihan melihat wajah yang terjenguk-jenguk, terintai-intai dan terhendap-hendap di situ. Kebanyakannya jemaah lelaki berusia lanjut, kelihatan uzur dan mempamerkan wajah mengharapkan pertolongan. Wajah-wajah mereka mengingatkan aku pada arwah bapaku. Pasti begitulah keadaan arwah bapaku semasa mengerjakan haji bersama arwah ibuku.

Aku faham. Bagi kebanyakan jemaah, ini merupakan kali pertama mereka mengerjakan haji. Bagi kebanyakan jemaah, ini juga merupakan pengalaman pertama mereka ke luar negara. Kebanyakan jemaah haji lelaki amat bergantung kepada isteri masing-masing. Dari urusan menyiapkan barang keperluan, mengemaskan beg sehingga kepada urusan harian mereka semasa mengerjakan haji. Contohnya, ada jemaah haji lelaki yang tidak pandai membancuh teh sendiri dan perlukan isteri mereka membancuhnya. Malah ada jemaah haji lelaki yang tidak pandai makan mi segera kecuali isteri mereka membuatnya! Kebanyakan pasangan ini berasal dari kawasan kampung di mana segala-galanya disiapkan oleh isteri. Pergantungan ini akhirnya menjadi seperti beban bagi sesetengah pasangan. Pergantungan ini juga akhirnya menempiaskan beban emosi kepada orang lain.

Pada mulanya, aku dengan rela hati menawarkan diri menjadi tukang panggil isteri orang. Aku teringat pesanan penceramah Tabung Haji, jika ingin menikmati keseronokan mengerjakan ibadah haji maka banyakkanlah membantu orang lain.

“Cari siapa haji? sapaku lembut. Panggilan “haji’ dan “hajah” memang biasa digunakan kepada jemaah haji walaupun ibadat haji belum disempurnakan lagi.

“Nak minta panggilkan orang rumah. Namanya Kalsom.”

“Dia duduk tiang mana?” tanyaku dengan semangat ingin menolong yang menggunung.

“Tiang 65 P.”

Aku pun segera membuat pengumuman. “Hajah Kalsom. Tiang 65 P. Suami nak jumpa.”

“Dia sakit. Saya nak tanya dia dah makan ubat ke? Dia selalu lupa makan ubat,” jelas pak cik itu. Nada suaranya penuh prihatin. Aku hanya mengangguk.

Tidak lama kemudian muncul seorang mak cik bertubuh kurus, melangkah lambat-lambat dan tergigil-gigil. Pak cik itu tersenyum manis melihat isterinya. Aku tidak dengar apa yang mereka berdua bualkan walaupun jarakku dengan mereka cukup dekat. Suara pasangan itu sangat perlahan dan mereka lebih banyak memandang daripada bercakap.  Aku dapat melihat perasaan kasih sayang yang melimpah ruah di antara mereka; seperti yang sering kulihat semasa kedua orang tuaku masih ada.

(5)

Selang beberapa minit, pintu khemah terkuak lagi. Muncul jemaah haji lelaki yang lain.

“Tolong panggilkan orang rumah saya. Kamsiah.”

“Dia duduk di tiang mana?”

“Tiang 55 P.”

“Hajah Kamsiah. Tiang 55 P. Suami nak jumpa,” jeritku sambil memandang ke arah tiang yang dimaksudkan. Ramai jemaah wanita yang memandang ke arahku.

“Hajah Kamsiah. Suami nak jumpa,” jeritku lagi sambil menahan batuk.  Tiada sesiapa yang keluar. “Orang rumah haji tak ada nampaknya. Mungkin ke bilik air”.

“Ya lah, terima kasih,” jawab pak cik itu tapi tidak terus berlalu. Dia berdiri tercegat di situ dengan wajah mengharap. Aku tak boleh berbuat apa-apa.

(6)

Pintu khemah terselak lagi.

“Orang rumah saya ada tak? Saya nak beri telur ni,” ujar seorang jemaah lelaki yang lain pula. Aku hampir tergelak. Di tangannya kelihatan sebungkus plastik jernih yang mengandungi biskut, limau, mi segera dan telur rebus. Tetapi mengapa dia hanya menyebut perkataan “telur”? Apakah makna tersirat di sebalik perkataan “telur” itu? Bukankah lebih sesuai jika disebut perkataan “makanan”? Astaqfirullahal Azim! Mengapa aku mula berfikiran serong?

“Saya boleh tolong berikan. Siapa namanya? Duduk tiang mana?” balasku sambil terbatuk-batuk.

“Namanya Fauziah. Saya nak beri sendiri,” jawab jemaah haji itu dengan wajah kelat. Aku menjadi tukang jerit sekali lagi. “Hajah Fauziah. Suami nak jumpa!”

“Fauziah mana? Ramai nama Fauziah kat sini!” entah suara siapa pula membalas dari belakang.

“Tiang mana, haji?” tanyaku lagi.

“Entah saya tak tahu,” jawab jemaah haji itu. Perkara yang mudah menjadi susah. Dalam khemah itu ada beratus-ratus orang jemaah wanita. Tanpa mengetahui nombor tiang khemah, memang sukar untuk mencari seseorang. Jemaah haji itu tidak berganjak. Dia berdiri tercegat di muka pintu

(7)

“Orang rumah saya ada tak? Kamsiah. Tiang 40 P. Tolong panggilkan. Cepat sikit,” muncul seorang lagi jemaah haji yang nampak tak sabar. Matanya memandang ke mukaku, seakan-akan aku sahaja yang layak melaksanakan arahannya. Padahal sebaris duduk denganku ada Kak Misa, Kak Zah, Kak Shima dan Kak Ani.

“Hajah Kamsiah! Hajah Kamsiah! Tiang 40 P. Suami nak jumpa!,” nampaknya aku sudah menjadi tukang jerit depan pintu khemah.

“Awak nak apa?” kedengaran suara garang dari tiang 40 P. Aku menoleh. Seorang jemaah wanita sedang berdiri bercekak pinggang.

“Ubat gigi mana? Saya nak berus gigi pun susah!” balas suaminya tanpa mempedulikan telinga-telinga lain yang sedang mendengar, mata-mata lain yang sedang memandang.

“Mana saya tahu? Barang awak dalam beg awak. Kalau awak tak jumpa, awak punya pasallah!” balas sang isteri tak mahu mengalah.

“Awak memang tak guna!  Memang patut saya kahwin lain,” maki suaminya sebelum berlalu. Aku hanya mampu beristigfar.

“Bini muda dia yang kemaskan beg dia. Padan muka dia! Hah, awak yang kat depan pintu tu. Kalau jantan tak guna tu datang lagi, jangan panggil nama saya. Saya tak rela,” luah wanita separuh umur itu lagi. Aku hanya mampu mengurut dada. MasyaAllah, dalam niat berlumba-lumba membuat kebajikan, aku rupa-rupanya menimbulkan kemarahan orang lain.

(8)

“Hei! Hei! Bangun! Bangun! ,” aku terdengar satu suara seperti dalam mimpi. Kaki kananku yang berstokin dan terjulur di muka pintu seperti dipukul sesuatu. Aku terpisat-pisat bangun dan membetulkan tudung. Seorang jemaah lelaki sedang mencangkung di hujung kakiku. Di tangannya ada selipar jepun; yang barangkali digunakan untuk memukul kakiku.

“Tolong panggilkan orang rumah kawan. Rubiah. Tiang 90 P,” perintahnya.

“Tiang mana?” tanyaku sambil melihat jam. MasyaAllah, dah pukul 2 pagi! Kenapalah mencari isteri pada waktu begini?

“Saya nak tahalulkan dia. Tadi saya lupa,” jelasnya bagaikan tahu apa yang sedang bermain dalam fikiranku. Tahalulkan isteri? Aku tak tahu kalau aku tersalah dengar. Mataku terasa amat mengantuk.

“Tiang 90 P tu jauh, haji.  Sebelah sana, “tunjukku ke arah kiri. “Kat sana pun ada pintu khemah. Haji cuba kejutkan sesiapa di sana,” sambungku lagi.

“Saya dah cuba. Semua tidur mati. Awak seorang saja yang bangun. Awak kena tolong juga. Nanti kalau hajinya tak sah, awak bertanggungjawab!” balasnya seperti mengugut. Astaqfirullah! Orang seperti ini pun ada rupanya!

“Beginilah haji. Macam yang saya kata tadi, tiang 90 P tu jauh. Saya kena langkah kawan-kawan yang tengah tidur untuk sampai ke sana. InsyaAllah saya akan tahalulkan hajah apa tadi? Rubiah ya? Saya sedia betanggungjawab. Haji baliklah ke khemah….” tetapi kata-kataku terus dipintas.

“Awak tu siapa? Saya ni suami dia tau! Yang afdal tahalulkan isteri ialah suami! Pergi haji pun tak tahu hukum-hakam! ,” sergahnya sebelum bingkas bangun.

Rasa mengantukku serta-merta hilang. Rasa marah yang amat sangat bertandang. Astaqfirullah! Astaqfirullah! Astaqfirullah! Perasaan marah ini daripada syaitan. Syaitan ini dicipta dari api. Hanya air yang dapat memadamkan api. Aku mengambil masa beberapa minit mententeramkan diri sebelum menuju ke bilik air untuk berwuduk.

(9)

Selepas subuh, aku mendengar seseorang memberi salam. “Asalamualaikum.”

Aku mengangkat muka. Seorang jemaah lelaki berdiri di muka pintu khemah. “Tolong panggilkan orang rumah saya. Khadijah. Tiang 56 P. Saya nak minta teh.” Aku mendiamkan diri. Salamnya pun kujawab dalam hati.

“Panggilkan orang rumah saya. Maimun. Tiang 60 P. Saya nak suruh dia basuh baju,” terdengar satu suara lain pula. Aku membatukan diri.

“Orang rumah saya ada tak? Waginah. Tiang 49 P. Saya nak ajak melontar,” Aku buat-buat tak dengar. Aku menyibukkan diri membaca terjemahan Al Quran Pimpinan Ar Rahman. Kebetulan aku sedang membaca Surah An Nur, ayat 58 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang ‘isya; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumnya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

“Haji jangan masuk haji! Haram!” aku dengar Kak Misa menjerit. Aku segera menoleh. Jemaah lelaki yang mencari isteri untuk ditahalulkan dinihari tadi sudah melangkah masuk.

“Panggil orang rumah saya. Rubiah. Tiang 90 P. Penting sangat ni,” perintahnya. Dia tetap tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Betul-betul di sebelah Kak Misa yang masih kelam kabut membetulkan tudung.

“Tiang 90 P tu jauh, sebelah sana. Nak jerit pun tak dengar,” balas Kak Misa yang bersuara halus. “Tak ada telefon ke? Telefonlah dia. Haram masuk khemah perempuan,” sambung Kak Misa lagi. Beberapa helai rambutnya nampak terjulur.

“Engkau ingat aku bodoh ke? Kalau ada telefon, aku tak minta tolong engkaulah. Engkau ingat aku suka-suka nak masuk khemah ni ke? Haram apa ke bendanya? Aku nak cari bini aku!,” perasaan tidak puas hatinya jelas kedengaran. Aku merenung geram ke mukanya tanpa sepatah kata

“Engkau ingat aku ni gatal sangat ke nak masuk khemah perempuan. Muka macam engkau ni bersepah kat mana-mana. Nak tengok pun aku tak selera,” herdik jemaah lelaki itu – kali ini sambil memandangku,seakan-akan menujukannya kata-katanya kepadaku. Aku terasa-rasa ingin bangun menampar mulutnya yang celupar.

“Orang perempuan pun ramai terjenguk-jenguk kat khemah lelaki. Tak haram ke tu? Gatal sangat ke tu? Sebelum berdakwah, belajar agama dulu sampai habis,” sindirnya sebelum berlalu dengan gaya berjalan menghentak bumi. Kak Misa menangis kerana dihina demikian rupa.

(10)

“Tolong panggilkan orang rumah saya. Kalsom. Tiang 65 P,” satu suara lembut yang terlalu biasa menerobosi telinga.

“Panggillah sendiri. Saya batuk. Tak larat nak menjerit,” balasku tanpa mengangkat muka. Mereka ini semua kurang ajar, bercakap ikut sesuka hati, tak guna ditolong, bisik hatiku.

Kak Misa yang masih bengkak mata buat tidak peduli. Izan, Kak Zah, Kak Ani, Kak Shima semuanya membatukan diri. Selepas melihat Kak Misa dimarahi sehingga menangis, semuanya seakan sepakat tidak mahu lagi menjadi tukang panggil isteri orang.

“Orang rumah saya perlu makan ubat. Dia selalu lupa makan ubat. Nanti kalau tak makan, dia pengsan,” ujar jemaah lelaki itu lagi. Tiada siapa yang peduli.

“Tolonglah, tolonglah,” aku tetap membisu seribu bahasa. Lama kelamaan jemaah haji itu berlalu. Tiada sedikit pun perasaan belas di hatiku.

“Ada jemaah pengsan! Ada jemaah pengsan,” aku terdengar jeritan dari dalam khemah. Aku ternampak seorang jemaah wanita diusung dengan menggunakan tikar jingga sumbangan TM. Kesemua jemaah wanita memberi laluan. Aku dapat mengesan, jemaah yang pengsan itu ialah Hajah Kalsom, yang dicari oleh suaminya sebentar tadi. Perasaanku mulai bercampur baur.

Semasa sedang menikmati makan tengah hari, terdengar berita sedih melalui pembesar suara. Hajah Kalsom binti Abdullah, 69 tahun meninggal dunia kerana penyakit darah tinggi. Dia dikatakan terlalu penat selepas pulang melontar, tidur pulas dan terlupa makan ubat. Kami diarahkan menunaikan solat jenazah dan mengadakan tahlil ringkas. Kami juga diarahkan membuat kutipan derma untuk meringankan beban suami Hajah Kalsom.

Makanan yang kusuap tiba-tiba terasa berpasir. Air yang kuteguk tiba-tiba terasa berduri. Aku terasa amat bersalah dengan apa yang berlaku.

(11)

“Asalamualaikum. Pak cik nak minta izin. Pak cik nak berdiri di sini sekejap. Pak cik nak tengok tiang 65 P…,” ujar jemaah haji yang berpakaian serba putih itu. Matanya nampak bengkak. Dia berdiri tercegat di pintu khemah.

“Kami dah janji pergi sama, balik pun sama…Tak sangka, dia tinggalkan pak cik macam ni..,” sambungnya lagi. Air matanya mula mengalir.

Hatiku terasa amat kesal. Hatiku terasa amat pilu.Seakan-akan yang sedang berkata-kata itu adalah bapaku, seakan-akan yang meninggal itu adalah ibuku.

(12)

Ada pelbagai ujian sepanjang tempoh masyair.  Bagiku ujian terbesar yang menguji kemabruran hajiku datang dari pintu itu.


Return to the collection


Illustration by Rohini Mani

About the Author

Maskiah Haji Masrom

Maskiah Haji Masrom was born in Johor, Malaysia. She has written more than 50 short stories, four novels, three collections of short stories, two poetry collections and a textbook on speeches. So far, she has won more than 30 writing competitions including the Malaysian Literary Prize, the Utusan Group Literary Prize and the Darul Takzim […]

Related