Pengap

by Lokman Hakim

‘Pengap’ was shortlisted for the 2019 Commonwealth Short Story Prize.  

 

Kota pengap itu ibarat tin kecil mahu dibubuh dunia di dalamnya. Ada tikus-tikus bergelut hingga mati terjerut akibat ekor masing-masing. Ada kepercayaan yang tidak menyakini tin-tin lain demi mengagihkan dunia ke ruang setiap satunya. Aku pula, lebih gemar berada di sini, dalam kesunyian warung kopi di pinggir kota. Sunyinya warung kopi ini, hingga aku harus membancuh kopiku sendiri. Mujurlah ada kuih jala lengkap dengan kuah kari, dihidangkan makcik berkepala arnab yang selesa dipanggil Kak Tina. Apabila melihat aku ada di warung itu, dia akan duduk di sebelahku sambil menceritakan perihal tuan punya kedai yang sudah begitu lama berkurung dalam biliknya. “Pengap-pengap bilik aku, pengap lagi kota sana.” Begitulah ayat yang diulang-ulang tuan punya kedai itu kepada Kak Tina.

Tapi itu peristiwa lima minggu yang lalu. Tuan punya kedai, Pak Ajis, sudah membisu dalam biliknya. Hanya kedengaran gerakan mundar-mandir yang meresahkan. Itupun kalau hendak diikutkan penceritaan Kak Tina. Entah benar atau tidak, sukar hendak aku tafsirkan. Mungkin juga Pak Ajis sudah lari ke dalam kota itu dan jadi seperti tikus yang saling berebut mendapat ruang yang sudah tiada. Tidak mustahil. Pelanggan-pelanggannya sudah lama lari ke dalam kota. Semua peluang kerja yang pernah ditanam benihnya di pinggiran kota sudah ditarik balik ke kota. Entah di mana pula kerajaan baharu itu mahu tanam benih itu. Aku tiada masa mahu mengambil tahu.

Tapi rata-ratanya mereka mahu menumbuhkan keajaiban di dalam kota itu. Ruang mana lagi mahu ditebuk? Adakah hendak diwujudkan ruang dalam ruang? Atau diwujudkan perspektif demi perspektif supaya kesesakan yang ada itu dinafikan? Aku jadi curiga. Kak Tina juga buntu mengenai hal itu.

“Boleh bawa saya jumpa Pak Ajis?” pertanyaan yang tidak pernah gagal membuntangkan mata Kak Tina. Gelisah terserlah jelas pada mukanya.

“Tak boleh! Pak Ajis tak suka diganggu!”

Giginya yang tertonjol itu pantas sahaja menghilang dalam mulutnya sesudah itu. Telinganya yang panjang itu akan mengendur seolah-olah memahami dia sedang melindungi sesuatu.

“Kak, Pak Ajis mungkin sakit. Kita kena bawa dia berubat.”

“Pak Ajis tak pernah sakit! Percayalah cakap akak!”

Penafian demi penafian hanya menambahkan keraguan. Aku tidak boleh biarkan keraguan terbiar tidak berjawab. Mungkin malam nanti, ada misteri akan dibongkar. Aku merancang sesuatu. Ia harus dilaksanakan segera.

Aku membelek-belek kuih jala yang terakhir pada pagi itu. Dari mana Kak Tina beroleh bahan masakan jika semua kedai sekitar ini sudah ditutup? Biarpun musykil, tidak dinafikan kuih jalanya itu antara makanan tersedap pernah dimakan di pinggir kota ini. Segera aku kunyah dan telan.

 

2.

Perjalanan balik ke rumah begitu sunyi. Tiada kenderaan mahupun pejalan kaki melintas. Hanya ada aku dan angin. Debu dan lirih daun kering. Kedai-kedai bertutup dikelubungi habuk. Aku tiada masalah dengan pinggiran kota yang mati ini. Ia lebih mendamaikan. Melihat ke arah kota yang penuh jejeran bangunan pencakar langit yang berlumba-lumba mahu capai bulan, cukup meresahkan. Ia harus dibina menegak tinggi demi menampung bilangan penduduk yang padat. Ada teriakan kota didengari saban malam. Mungkin perasaan aku sahaja.

Sesekali aku dapat lihat telinga panjang arnab melintasi bingkai tingkap rumahku. Kak Tina barangkali. Mengintip gerak geriku. Dia tetap tidak membenarkan aku jumpa Pak Ajis. Aku syak Kak Tina melakukan sesuatu yang tidak baik pada Pak Ajis. Oh Tuhan, aku harus selamatkan orang tua itu.

Aku berlari keluar dari rumah pada malam itu, apabila didapati telinga arnab itu muncul hampir tiga kali di bingkai tingkap rumahku. Aku mahu menangkap Kak Tina. Pencerobohan privasi ini sudah lebih. Dia harus diberi nasihat sewajarnya. Jika berkelakuan aneh, wajarlah dilaporkan pada pihak polis.

Pantas saja kelibat itu menyelinap masuk ke dalam belukar di belakang rumah. Aku capai parang di dapur. Jika perlu digertak, aku gertak sahaja. Aku yakin, itu pastinya Kak Tina. Nampak susuk tubuh manusia berkepala arnab itu menyusup di celahan pohon-pohon kayu yang bersimpang-siur di dalam belukar. Dengan berpandukan cahaya bulan yang terang, aku terus memburu. Lalang yang meninggi, aku tebas sekali harung. Mujurlah Kak Tina berlari mengikut denai yang tersedia. Pastinya dia tidak mahu sesat dalam belukar sunyi itu.

Aku tahu, selepas denai itu, aku akan tiba di perkampungan yang sudah ditinggalkan. Mungkin Kak Tina akan masuk ke mana-mana premis yang mudah dibolosi dan menyorok di situ. Aku tercungap-cungap apabila tiba di perkampungan lengang itu.

Cahaya bulan begitu terang, hingga setiap persekitaran rumah yang lengang amat jelas. Di tengah-tengah deretan rumah itu, aku dapat lihat wanita berkepala arnab itu. Kak Tina tidak berniat mahu menyorokkan diri sama sekali. Dia menghadapku. Merenungku tanpa meleraikan pandangannya walau sesaat. Renungan seumpama itu meresahkan. Genggamku pada parang terasa longgar, tetapi segera aku cengkam kemas.

Lalu aku acukan bilah parang pada Kak Tina. Dia tetap pegun di situ. Matanya memancarkan sinar merah. Menakutkan. Aku tidak boleh goyah kali ini. Penjelasan harus diperolehi malam ini juga.

 

3.

Pengap. Sempit. Busuk. Pak Ajis tidak mahu terima apa-apa jua alasan pun daripada sesiapa. Baik dari Kak Tina atau pelanggan-pelanggan warung kopi yang dikendalikannya. Maka, dia memilih untuk berkurung dalam biliknya. Bertafakur di situ. Tidak mencampuri masyarakat. Kak Tina disuruh menghalau sesiapa sahaja yang mampir mendekati biliknya tanpa kira pangkat atau darjat. Sudah berapa ramai pegawai-pegawai kerajaan dihantar demi memujuknya agar meninggalkan pinggiran kota itu.

Ada kereta akan diberi dengan harga mampu milik. Dia akan memandu dari sebuah bangunan kondominium bertingkat-tingkat. Berhimpit-himpit dengan penghuni-penghuni kondominium. Beratur di setiap lorong dan jalan demi tiba di tempat kerja baharu: sebuah warung urban di hadapan pusat komersial yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dek kerana amat pasti pekerja-pekerja syarikat di setiap lot bangunan komersial itu tidak sempat menyediakan sarapan masing-masing.

Dia tidak mahu berhimpit-himpit. Kesesakan jalan raya tidak sepatut menjadi nadi hidupnya. Kenapa harus dipaksakan juga ke atas dirinya hal-hal mengerdilkan jiwa seperti itu? Dia sudah jemu mengelak mereka. Dia menyorok sahaja di bilik, menyoroti perkembangan di kota pengap itu melalui telefon bimbit sahaja. Itupun tidak lama lagi, tiada jaringan komunikasi di pinggiran kota itu. Semuanya mahu disumbat ke dalam kota seperti tin sardin yang sudah kembung. Tunggu masa untuk meletup sahaja. Apakah kegilaan itu? Dari mana datangnya kegilaan itu? Dia tidak dapat menerimanya.

Pagi itu ada ketukan di pintu. Kak Tina tidak akan melakukan sesuatu seperti itu. Dia berdiam diri dan mengharap orang itu akan berlalu pergi. Tetapi nyata tetamu itu degil. Dia terus mengetuk pintu.

“Pak Ajis! Pak Ajis! Ada lagi ke dalam tu?”

Tiada respons. Pak Ajis menikus. Tidak mundar-mandir seperti biasa. Puntung rokok yang masih menyala dicucuh cepat ke dalam bekas minuman. Biar senyap tuntas. Tapi tetamu tak diundang itu tetap tidak meninggalkan tempatnya. Kelihatan kelibat bayangnya di luar pintu dari celah antara daun pintu dengan lantai.

“Kalau pakcik tak jawab, saya rempuh masuk ni. Satu, dua, tiga…”

Itulah waktunya Pak Ajis menerpa lalu membuka pintu. Dia pernah dengar suara orang itu. Tetapi dia tidak mengingati apa-apa. Mungkin itu salah seorang daripada pelanggan-pelanggan warungnya. Ataupun boleh jadi salah seorang daripada sepuluh orang anaknya yang telah terperangkap dalam kota pengap itu bertahun-tahun hingga tidak mampu hendak menjenguknya hatta sekali. Apa yang dia tahu, sebarang kebodohan seperti merempuh pintu bilik itu tidak boleh dibiarkan.

“Kau? Siapa kau?”

Tidaklah Pak Ajis kenal orang itu. Dia merenung ke mata tetamu itu tajam-tajam. Biar orang itu terkesima. Benar, tetamu tak diundang kali ini terdiam melihat susuk Pak Ajis itu. Selaku seseorang yang telah berkurung dalam tempat gelap sebegitu lama, kulitnya pucat. Matanya kemerahan. Ketuaan telah menyelubungi Pak Ajis melalui rambut panjangnya yang berkeluk-keluk dan beruban sepenuhnya itu. Sepasang mata Pak Ajis itu, jelas menyerlahkan kekecewaannya. Tetapi tetamu itu tidak tahu apakah yang mengecewakan Pak Ajis. Dia berdehem dan cuba berlaku tenang.

“Assalamualaikum pakcik, saya Rosdan, saya lama dah tak nampak pakcik di warung, itulah saya cari.”

“Waalaikumsalam… ah, sudah aku serah pada Tina. Tina mana?” melilau pandangan Pak Ajis. Kelibat Kak Tina langsung tiada. Senyap sunyi.

“Kak Tina, ya… Dia… dia…” tergugup-gugup Rosdan mahu habiskan ayatnya.

“Dia, dia, apa!? Cakap biar betul. Tergagap-gagap macam baru lepas bunuh orang!”

Halkum Rosdan bergerak naik dan turun mendengar kata-kata Pak Ajis itu. Namun lekas-lekas dia menjawabnya.

“Dia sudah lari ke kota pengap! Di sini sudah habis orangnya.”

Mata Pak Ajis memicing mendengarnya. Dia tidak percaya pada Rosdan. Biarpun dia yakin, orang itu pernah singgah di warungnya. Dia pernah lihat raut wajah itu, dia mahu percayakan itu. Tapi hubungan mereka memang setakat itu sajalah. Pelanggan warung tak semua setia pada warung. Apatah lagi kenal siapa pemilik warung tersebut. Kalau kenal pun entah niatnya baik atau tidak, siapa yang tahu?

“Jadi, kau nak aku buat apa?”

Nada Pak Ajis kasar benar. Dia bukan lagi Pak Ajis yang mudah tersenyum pada pelanggan di warung. Dia sudah jadi perengus. Semenjak ditinggalkan anak-anak dan melihat sebegitu ramai penduduk kampung dipaksa berhijrah ke kota pengap, dia teramat kecewa. Dia mahu runtuhkan kota itu, tetapi dia hanya seorang. Kekecewaan telah mendorongnya agar berkurung dalam biliknya itu.

“Ikut saya ke kota!”

“Kau gila? Kau pergilah seorang. Kenapa nak ajak aku?”

“Kampung ini akan diruntuhkan. Esok hari, kontraktor akan sapu semuanya. Jengkaut dan jentolak sudah disusun di luar kampung. Kalau tak percaya, pakcik tunggulah di sini. Jangan cakap saya tak bagi amaran.”

Rosdan sendiri sudah bengang dengan layanan kasar Pak Ajis itu. Dia sendiri mahu bergegas pulang. Mengemas apa-apa barang yang patut. Tiada lagi roti jala kegemaran. Tiada lagi kopi gantang istimewa. Kak Tina juga tiada. Dia masih teringat peristiwa malam tadi. Ibarat babak cerita noir. Tetapi bagaimana harus hendak dia ceritakan pada Pak Ajis? Dia sendiri tidak memahami sepenuhnya apa yang telah berlaku.

Tanpa mempedulikan Pak Ajis yang terpinga-pinga di muka pintu, Rosdan segera berlari ke rumah. Cerita mengenai kontraktor mahu menebas setiap rumah usang di kampung itu benar. Dia kenal kontraktornya itu, yakni, anak Pak Ajis sendiri. Anak sulung. Penderhaka kampung! Di mata anak itu, kampung ini hanya pinggir kota yang patut dibubuh kondominium bertingkat-tingkat. Biar julang langit. Dia langsung lupa mengenai Pak Ajis.

Rosdan tidak memahami kota pengap. Bahkan dia sendiri juga menjauhi kota pengap itu. Dia sedang memikir jalan agar tidak didesak masuk ke dalam kota itu kerana ramai sudah yang hilang akal sejak memasuki kota.

Dia harus selesaikan Kak Tina. Ya, Kak Tina itu belum lagi bertolak ke kota. Dia ada sahaja lagi di situ. Di rumahnya. Mungkin juga di rumah Rosdan. Mungkin juga di rumah entah siapa-siapa. Mungkin juga Kak Tina sudah mendatangi kontraktor itu dan mensabotaj setiap jentera. Kecintaan Kak Tina pada kuih jalanya dan juga warung Pak Ajis tidak terhingga.

Ya, dia harus kembali ke rumah. Selesaikan masalah yang masih tergantung. Sebelum jentera esok hari mengaum dan menelan segala-gala yang pernah melestarikan… manusiawi.

 

4.

Parang patah terbiar sahaja dengan hulunya di atas meja. Bahagian matanya hingga separuh sudah hilang ditelan malam. Kak Tina duduk di kerusi menyilang kaki, menampakkan sedikit betisnya yang putih licin dan kurus itu. Sesekali dia mengusap pipinya yang gebu, sambil telinganya bergerak-gerak. Dia sedang menanti Rosdan. Imbauan kisah semalam berulangan.

Aku tidak tahu bagaimana harus aku teruskan. Kak Tina tidak menyerang. Hanya menunggu. Matanya tak pernah dilarikan ke tempat lain. Dia juga menyedari ancaman itu. Parang di tanganku bukan calang-calang. Tajamnya jelas diperlihatkan cahaya rembulan yang begitu terang.

Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku tergamak menghunuskan parang itu. Naluri barangkalinya. Kak Tina malam itu tidak datang selaku kawan. Dia mengendap. Dia sedang menyiasatku secara terang-terangan. Hal itu mengganggu fikiranku. Bahkan dia juga menghalangku daripada bertemu dengan Pak Ajis. Tidak mungkin aku menganggap sesuatu yang molek masih berlaku. Melihat gerak-gerinya yang penuh kecurigaan itu, aku membayangkan jasad Pak Ajis, membujur kaku. Diracuni atau diseksa. Ah, tiada apa-apa yang elok terbayang dalam benak ini.

“Kak, elok akak terus-terang. Kenapa akak mengendap saya? Kenapa akak tak nak cerita apa yang jadi pada Pak Ajis kepada saya?”

Kak Tina gugup. Dicapainya sepuntung rokok. Dinyalakan. Lalu dibubuh di antara giginya yang besar itu. Disedut asapnya betul-betul. Biar sentak ke otak. Biar hilang memorinya mengenai insiden malam tadi.

“Akak tak faham, dik. Kenapa, kamu selaku pencerita… harus masuk ke sini. Ke dalam warung ini. Ke dalam hidup kami berdua. Kenapa? Kamu… tahu semuanya. Kamu… tak perlu ceritakan apa-apa pun tentang kami.”

Dia terbatuk-batuk. Tidak tahan. Merokok merosakkan tubuhnya. Menguningkan dua batang gigi hadapannya yang besar itu. Rosdan masih belum sampai. Aku harus menjelaskan situasi pada waktu kini. Mereka terdesak. Mereka tidak patut berada di sini.

“Saya terpaksa kak. Kampung ini, kota sana dan setiap ruang dalam naratif ini, pengap. Tidak lama lagi, jentera akan masuk dan merobohkan segala-galanya, supaya dapat dibinakan bangunan demi bangunan yang lebih rapat. Lebih sempit. Lebih pengap. Saya harus selamatkan apa yang patut diselamatkan.”

Kak Tina menjentik puntung rokok yang sudah dihisap separuh keluar tingkap. Ia melayah entah ke mana disambut aduhan. Rosdan sudah datang ke mari. Malangnya, puntung rokok yang masih menyala itu terkena tubuhnya. Barangkalinya. Aku bergegas ke tingkap dan melihat Rosdan terus-menerus mengaduh. Dia melihatku dan terus berhenti kehairanan. Tampak kesan bajunya sedikit terbakar akibat cucuhan bara rokok. Dia menuding ke arahku. Matanya terbeliak.

“Kau… Kau! Kenapa kau ada di sini!?”

Lalu aku membalas “Kota terlalu pengap. Tersangat pengap, hingga aku terpaksa masuk ke dalam ruang ini. Ruang kalian ini. Kita harus lari.”

“Lari ke mana? Mana ada tempat.”

“Ya, betul. Bayangkan dunia sudah menyempit. Kota itu dan pinggirannya sudah menyempit. Hingga naratif yang cuba menggambarkannya juga terpaksa masuk ke dalam cerita ini dan berpadat-padat. Kita tak boleh lari, sebenarnya.”

“Jadi?”

Aku mahu menyahut pertanyaannya, tetapi bilah parang yang patah tiba-tiba berada di leherku. Aku melirikkan ekor mataku dan dapat melihat bagaimana Kak Tina, dengan mata merahnya sedang mengenggam hulu parang dengan begitu kemas. Lalu dia membalas pertanyaan Rosdan itu.

“Kota kita pengap kerana dia ni! Ya, dia ini! Dimensi kita terhimpit kerana cerita itu menyempitkan kita. Aku akan bunuh dia dan kita akan dapat tolak dinding naratif seluas-luasnya. Tengok!”

Aku tidak tahu bagaimana mahu menceritakan segala-gala yang berlaku ke atas kota pengap, Kak Tina, Rosdan dan Pak Ajis, ketika kepalaku jatuh bergolek di atas beranda. Aku tidak tahu. Terbatas pengetahuanku. Tetapi aku sedar, kepengapan sebuah cerpen akan menghimpit tanpa pencerita.

Mereka akan berasak-asak di dalam ruang yang mengecil menjadi titik. Kian kerdil. Kian kecil.

Kecil.

Kecil.

Kecil.

Kecil.

Menjadi titik.

 

 

Imagefilm still taken from ‘Metropolis’ by Fritz Lang.

 

About the Author

Lokman Hakim

Lokman Hakim is an author of several books, comprising of novels, collections of short stories and poetry, with genres spanning from science fiction, thriller, young adult and fantasy written in the Malay language. His short stories have been published in local newspapers, literary websites and national literary magazines. He works as an infrastructure engineer for a construction company.

Related Articles